Permulaan baik KL Indie Fest 08

Thursday, July 10, 2008



Meet Uncle Hussein penuh bertenaga ketika menyanyikan lagu berjudul Lalala Kerjalah pada KL Indie Fest 08 di Menara KL, baru-baru ini.

PARA pemuzik independent (indie) di negara ini bukanlah seperti pemuzik atau penyanyi aliran arus perdana lain yang sering mendapat liputan cukup meluas daripada pihak media cetak dan media elektronik serta penganjur pertunjukan pentas.

Bagaimanapun, di sebalik kekurangan itu, para pemuzik indie tetap mempunyai kalangan peminatnya yang tersendiri.

Mereka saling bantu membantu bagi mengangkat martabat dan populariti genre tersebut.

Perkembangan pesat dan sambutan hangat para peminat itu dapat dilihat pada Festival Muzik Indie Kuala Lumpur 08 (KL Indie Fest 08) apabila ia disaksikan oleh lebih 5,000 penonton ketika ia diadakan di Menara Kuala Lumpur (KL), baru-baru ini.

Penyelaras Media dan Persembahan Menara KL, Suhaily Sahad berkata, pihaknya tidak menjangka sambutan para peminat muzik indie terhadap festival yang pertama kali diadakan di menara itu mendapat sambutan yang di luar jangkaan.

“Kami tidak menjangka lebih 5,000 peminat datang menyaksikan persembahan ini. Ini kerana, bahagian teres Menara KL yang dijadikan tempat konsert itu diadakan hanya mampu menampung sekitar 4,000 penonton sahaja.

“Mungkin pada masa depan, suatu tempat yang lebih besar patut difikirkan bagi menampung jumlah peminat yang seramai itu,” katanya ketika ditemui pada festival itu yang dijayakan oleh kira-kira 20 buah kumpulan indie tempatan.

Jelas Suhaily, festival itu bukan setakat memenuhi permintaan terhadap muzik indie yang semakin popular tetapi secara tidak langsung acara yang dimulakan pada 3, 4 dan 5 Julai itu juga mampu untuk mempopularkan lagi Menara KL.

Pada festival yang mengenakan harga tiket RM25 itu, pelbagai acara telah diadakan sepanjang tiga hari ia berlangsung di mana hari ketiga merupakan kemuncaknya dengan menyaksikan konsert berlangsung selama hampir 12 jam tanpa henti.

Difahamkan sambutan KL Indie Fest 08 amat menggalakkan kerana ia merupakan festival terbesar pernah diadakan di negara ini selain Konsert Rock The World yang kebetulan sudah hampir dua tahun tidak dianjurkan.

Selain pihak penganjur, para pemuzik indie yang terbabit menjayakan festival itu juga meluahkan perasaan gembira mereka bukan sahaja atas sambutan para peminat tetapi juga sokongan daripada pihak-pihak kerajaan.

Contohnya, pada festival itu, para pengunjung menurunkan tandatangan mereka pada sebuah banner panjang sebagai tanda sokongan terhadap industri muzik tempatan dan akan diserahkan kepada Kementerian Penerangan Malaysia.

Membuka mata

Secara simboliknya, ia sebagai suatu sokongan moral daripada industri muzik bagi mengangkat semula martabat para pemuzik tempatan supaya lebih berdaya saing terutamanya dengan artis-artis dari luar negara pada masa depan.

Vokalis kumpulan Old Automatic Garbage (OAG), Radhi misalnya, terharu dengan pihak-pihak tertentu terutamanya kerajaan yang begitu peka dan memahami perjuangan para pemuzik indie dalam memajukan industri muzik tempatan.

“Sejak kebelakangan ini, saya bersyukur dan terharu kerana banyak pihak mula membuka mata kepada para pemuzik indie. Selepas bersama OAG sejak awal tahun 1990-an, baru kini saya tengok perubahan drastik seperti ini,” ujarnya.

Sepanjang festival itu, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya gerai-gerai yang menjual barangan para pemuzik indie tempatan seperti kemeja-T, pelekat, poster, kasut, cakera padat serta kempen gaya hidup cara sihat.

Sejumlah wang hasil daripada kutipan tiket festival itu akan disalurkan kepada badan-badan yang memerlukan termasuklah ke Rumah Anak-Anak Yatim Darul Izzah, Bangi, Selangor sebagai salah satu tanggungjawab sosial pihak penganjur.

Persembahan festival itu dimulakan pada pukul 1 petang dan berakhir hingga awal pagi dengan menyaksikan banyak kumpulan yang popular beraksi pada penghujung persembahan, misalnya kumpulan The Pilgrims.

Kumpulan-kumpulan yang menjayakan festival itu antaranya Meet Uncle Hussein yang kini sedang top dengan lagu-lagu mereka yang agak bingit seperti Lalala Kerjalah, Dari Di Bawah Angin dan Lagu Untuk Mu telah menarik perhatian ramai.

Selain itu persembahan kumpulan-kumpulan seperti Aggrobeats, The Officials, ACAB, Roots N Boots, Bitterwseet, The Times, Stone Garden, Dead Mushroom, Julies Love, Skuda-Skudip dan Sinopsis juga tidak kurang hebat.

Menariknya, KL Indie Fest 08 yang diadakan di kawasan terbuka itu menampilkan banyak perkembangan terbaru daripada segi kelainan genre muzik dan kreativiti yang cuba diketengahkan oleh kumpulan-kumpulan terbabit.

Memandangkan sambutan hebat KL Indie Fest 08, difahamkan pihak penganjur mungkin akan menjadikannya sebagai suatu acara tahunan tetapi suatu lokasi yang lebih besar haruslah difikirkan bagi menjayakan festival tersebut.

0 comments: