Anggota kumpulan punk tunjuk punggung ketika konsert Protes terlepas dakwaan

Thursday, July 10, 2008

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan mengambil tindakan terhadap seorang penyanyi 'punk' yang menunjukkan punggung ke arah penonton selepas membuat persembahan pada perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di Stadium Kelana Jaya, dekat sini, Ahad lalu. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung, berkata penganjur perhimpunan sudah membuat tindakan sewajarnya terhadap penyanyi berkenaan, selain mendapati situasi terkawal.
"Polis tidak mengambil tindakan kerana perhimpunan diadakan di tempat tertutup dan hanya menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat semalam. Beliau mengulas soalan dibangkitkan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) yang mempertikaikan tiada tindakan tegas polis terhadap penyanyi berusia 20-an itu yang tiba-tiba membelakangi penonton dan melondehkan seluar untuk menunjukkan punggungnya. Chor turut menjelaskan isu pendaftaran warga negara bagi masyarakat pedalaman Sabah yang dikatakan masih ramai tidak mempunyai identiti, termasuk tidak mempunyai surat beranak dan kad pengenalan.
Beberapa Ahli Parlimen, terutama wakil Sabah membangkitkan isu itu termasuk Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) dan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) menggesa kerajaan menyelesaikan isu itu segera. Chor turut menafikan dakwaan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), P Uthayakumar dihalang menjalani pemeriksaan dan rawatan. (copy from berita harian)

0 comments: