Permulaan baik KL Indie Fest 08

Thursday, July 10, 2008



Meet Uncle Hussein penuh bertenaga ketika menyanyikan lagu berjudul Lalala Kerjalah pada KL Indie Fest 08 di Menara KL, baru-baru ini.

PARA pemuzik independent (indie) di negara ini bukanlah seperti pemuzik atau penyanyi aliran arus perdana lain yang sering mendapat liputan cukup meluas daripada pihak media cetak dan media elektronik serta penganjur pertunjukan pentas.

Bagaimanapun, di sebalik kekurangan itu, para pemuzik indie tetap mempunyai kalangan peminatnya yang tersendiri.

Mereka saling bantu membantu bagi mengangkat martabat dan populariti genre tersebut.

Perkembangan pesat dan sambutan hangat para peminat itu dapat dilihat pada Festival Muzik Indie Kuala Lumpur 08 (KL Indie Fest 08) apabila ia disaksikan oleh lebih 5,000 penonton ketika ia diadakan di Menara Kuala Lumpur (KL), baru-baru ini.

Penyelaras Media dan Persembahan Menara KL, Suhaily Sahad berkata, pihaknya tidak menjangka sambutan para peminat muzik indie terhadap festival yang pertama kali diadakan di menara itu mendapat sambutan yang di luar jangkaan.

“Kami tidak menjangka lebih 5,000 peminat datang menyaksikan persembahan ini. Ini kerana, bahagian teres Menara KL yang dijadikan tempat konsert itu diadakan hanya mampu menampung sekitar 4,000 penonton sahaja.

“Mungkin pada masa depan, suatu tempat yang lebih besar patut difikirkan bagi menampung jumlah peminat yang seramai itu,” katanya ketika ditemui pada festival itu yang dijayakan oleh kira-kira 20 buah kumpulan indie tempatan.

Jelas Suhaily, festival itu bukan setakat memenuhi permintaan terhadap muzik indie yang semakin popular tetapi secara tidak langsung acara yang dimulakan pada 3, 4 dan 5 Julai itu juga mampu untuk mempopularkan lagi Menara KL.

Pada festival yang mengenakan harga tiket RM25 itu, pelbagai acara telah diadakan sepanjang tiga hari ia berlangsung di mana hari ketiga merupakan kemuncaknya dengan menyaksikan konsert berlangsung selama hampir 12 jam tanpa henti.

Difahamkan sambutan KL Indie Fest 08 amat menggalakkan kerana ia merupakan festival terbesar pernah diadakan di negara ini selain Konsert Rock The World yang kebetulan sudah hampir dua tahun tidak dianjurkan.

Selain pihak penganjur, para pemuzik indie yang terbabit menjayakan festival itu juga meluahkan perasaan gembira mereka bukan sahaja atas sambutan para peminat tetapi juga sokongan daripada pihak-pihak kerajaan.

Contohnya, pada festival itu, para pengunjung menurunkan tandatangan mereka pada sebuah banner panjang sebagai tanda sokongan terhadap industri muzik tempatan dan akan diserahkan kepada Kementerian Penerangan Malaysia.

Membuka mata

Secara simboliknya, ia sebagai suatu sokongan moral daripada industri muzik bagi mengangkat semula martabat para pemuzik tempatan supaya lebih berdaya saing terutamanya dengan artis-artis dari luar negara pada masa depan.

Vokalis kumpulan Old Automatic Garbage (OAG), Radhi misalnya, terharu dengan pihak-pihak tertentu terutamanya kerajaan yang begitu peka dan memahami perjuangan para pemuzik indie dalam memajukan industri muzik tempatan.

“Sejak kebelakangan ini, saya bersyukur dan terharu kerana banyak pihak mula membuka mata kepada para pemuzik indie. Selepas bersama OAG sejak awal tahun 1990-an, baru kini saya tengok perubahan drastik seperti ini,” ujarnya.

Sepanjang festival itu, pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya gerai-gerai yang menjual barangan para pemuzik indie tempatan seperti kemeja-T, pelekat, poster, kasut, cakera padat serta kempen gaya hidup cara sihat.

Sejumlah wang hasil daripada kutipan tiket festival itu akan disalurkan kepada badan-badan yang memerlukan termasuklah ke Rumah Anak-Anak Yatim Darul Izzah, Bangi, Selangor sebagai salah satu tanggungjawab sosial pihak penganjur.

Persembahan festival itu dimulakan pada pukul 1 petang dan berakhir hingga awal pagi dengan menyaksikan banyak kumpulan yang popular beraksi pada penghujung persembahan, misalnya kumpulan The Pilgrims.

Kumpulan-kumpulan yang menjayakan festival itu antaranya Meet Uncle Hussein yang kini sedang top dengan lagu-lagu mereka yang agak bingit seperti Lalala Kerjalah, Dari Di Bawah Angin dan Lagu Untuk Mu telah menarik perhatian ramai.

Selain itu persembahan kumpulan-kumpulan seperti Aggrobeats, The Officials, ACAB, Roots N Boots, Bitterwseet, The Times, Stone Garden, Dead Mushroom, Julies Love, Skuda-Skudip dan Sinopsis juga tidak kurang hebat.

Menariknya, KL Indie Fest 08 yang diadakan di kawasan terbuka itu menampilkan banyak perkembangan terbaru daripada segi kelainan genre muzik dan kreativiti yang cuba diketengahkan oleh kumpulan-kumpulan terbabit.

Memandangkan sambutan hebat KL Indie Fest 08, difahamkan pihak penganjur mungkin akan menjadikannya sebagai suatu acara tahunan tetapi suatu lokasi yang lebih besar haruslah difikirkan bagi menjayakan festival tersebut.

Anggota kumpulan punk tunjuk punggung ketika konsert Protes terlepas dakwaan

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan mengambil tindakan terhadap seorang penyanyi 'punk' yang menunjukkan punggung ke arah penonton selepas membuat persembahan pada perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di Stadium Kelana Jaya, dekat sini, Ahad lalu. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung, berkata penganjur perhimpunan sudah membuat tindakan sewajarnya terhadap penyanyi berkenaan, selain mendapati situasi terkawal.
"Polis tidak mengambil tindakan kerana perhimpunan diadakan di tempat tertutup dan hanya menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Dewan Rakyat semalam. Beliau mengulas soalan dibangkitkan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) yang mempertikaikan tiada tindakan tegas polis terhadap penyanyi berusia 20-an itu yang tiba-tiba membelakangi penonton dan melondehkan seluar untuk menunjukkan punggungnya. Chor turut menjelaskan isu pendaftaran warga negara bagi masyarakat pedalaman Sabah yang dikatakan masih ramai tidak mempunyai identiti, termasuk tidak mempunyai surat beranak dan kad pengenalan.
Beberapa Ahli Parlimen, terutama wakil Sabah membangkitkan isu itu termasuk Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) dan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) menggesa kerajaan menyelesaikan isu itu segera. Chor turut menafikan dakwaan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), P Uthayakumar dihalang menjalani pemeriksaan dan rawatan. (copy from berita harian)

NIRVANA DISCOGRAPHY


RANCID discography (1993-2003)


1993 - Rancid
2000 - Rancid

Mob Sets on Carburator Dung Performance: Anti-Oil Hike Rally, Kelana Jaya Stadium, Malaysia

Wednesday, July 9, 2008


Copied From original post: Malaysiakini: Tindakan provokasi, bukan pembangkang
Jimadie Shah Othman Jul 7, 08
Vokalis kumpulan Carburetor Dung, yang mengadakan persembahan kontroversi di perhimpunan membantah harga minyak semalam, percaya kekecohan terjadi akibat provokasi pihak yang tidak dikenali."Saya rasa kejadian ini berpunca daripada provokasi tiga orang yang menghalang itu. "Tetapi saya tidak rasa mereka ini kumpulan penyokong (pembangkang) yang hadir itu. Tidak tahulah siapa (mereka)," kata Alak kepada Malaysiakini hari ini.Sebelum kejadian membaling objek dan menyerbu pentas sehingga mencederakan beliau, Alak waktu itu sedang menyanyikan Mari nyanyi menjilat. Tiga orang itu pada mula melahirkan rasa tidak senang dengan lagu tersebut di depan pentas apabila penyanyi ini menunjukkan punggungnya, sehingga ternampak seluar dalam, kepada penonton. Mereka kemudian naik ke pentas dan diikuti serbuan penonton ke depan, sambil marah-marah kepada Alak dan kumpulannya. Kumpulan penyokong itu juga membaling botol minuman dan batu bata.Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 petang semalam sewaktu majlis perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di stadium Kelana Jaya. Kira-kira 2,000 penonton berada di depan pentas dan tempat duduk menyaksikan konsert ringkas selama 15 minit.Ekoran itu, skuad AMK terpaksa membawa anggota kumpulan seramai empat orang itu beredar di situ bagi melindungi keselamatan mereka.Sebelum itu, keadaan meriah ketika kumpulan itu menyampaikan tiga buah lagi - sebuah lagi inggeris, dan dua buah lagi Melayu - Tak boleh dan Hantu raya di Putrajaya - yang berunsur satira politik.Penulis kolum terkenal Hishamuddin Rais, yang turut terlibat menganjurkan segmen muzik dalam perhimpunan sehari suntuk semalam, kemudiannya memohon maaf kepada para penonton dan berkata beliau bertanggungjawab atas kejadian tersebut.Beliau juga menjelaskan beliau yang membawa kumpulan tersebut dan mereka tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik.Hishamuddin juga kelihatan terlalu sedih dan mengalirkan air mata. Menurut Alak lagi, ketika tiga lelaki tersebut menegurnya, beliau tidak perasan dengan teguran itu kerana sedang asyik dengan lagu yang dibawanya."Saya tidak sedar, saya tengah asyik (feel) dengan lagu," jelasnya. "Saya sebenarnya tidak melondehkan seluar seperti yang ditulis oleh beberapa media hari ini."Ketika membuat persembahan itu, tambah Alak, beliau tidak berniat menimbulkan ketidakpuasan hati penonton.Sehubungan itu, beliau meminta maaf sekiranya tindakannnya itu menimbulkan kemarahan penonton."Saya minta maaf kalau buat penonton marah. Bukan niat saya untuk membuatkan orang marah," katanya, sambil menambah persembahan mereka semalam dibuat secara percuma dan kehadiran mereka "demi rakyat.""Mungkin kami salah khalayak."Carburetor Dung merupakan kumpulan punk rock terkenal yang ditubuhkan pada 1991 di Kuala Lumpur. Kumpulan ini diasaskan oleh pemain bes Fendi dengan nama Stormfish pada mulanya. Nama itu ditukar kepada Carburetor Dung apabila Joe Kidd - seorang nama besar dalam perkembangan muzik indie - menyertai kumpulan itu. Nama kumpulan ini diambil daripada sebuah buku tulisan wartawan muzik Lester Bangs berjudul Psychotic Reactions and Carburetor Dung.Carburetor Dung setakat ini mempunyai dua album, satu EP dan album bersama serta enam album kompilasi. Kumpulan ini sangat sinonim dengan dunia muzik indie tempatan dan bermain dalam pelbagai konsert dan gig di Malaysia mahupun luar negara.Mengulas cara bantahan itu dibuat, vokalis kumpulan punk rock itu berkata: "Beliau tidak puas hati dengan cara bantahan di buat. Sepatutnya mereka (penonton) bertenang dan bawa berbincang, bukan (guna) kekerasan."Sebelum persembahan, Alak berkata, Carburetor Dung tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku memandangkan mereka "berjuang untuk perkara yang sama".Sebelum itu, mereka juga diminta berpakaian kemas dan permintaan itu dipatuhi, kata Alak.Menurut beliau, lagu Mari nyanyi menjilat ciptaan 2004 sebuah satira, yang dimuatkan dalam EP Macam celaka/hanturaya Putrajaya kumpulan tersebut, tentang orang yang suka membodek, antaranya untuk mendapatkan kontrak.Ketua kumpulan itu Joe Kidd pula menyifatkan bantahan itu terjadi berpunca daripada salah faham penonton terhadap satira dan insiden ini tidak patut berlaku."Ini semua salah faham, tak boleh faham satira. Perkara ini tidak patut berlaku," katanya kepada Malaysiakini.Persembahan pentas merupakan sebahagian daripada kebudayaan dan pemuzik seperti mereka mempunyai cara tersendiri menyampaikan pandangan mereka, kata pemain gitar itu yang turut berada di pentas sewaktu kejadian."Ini merupakan sebahagian daripada kebudayaan. Kami ada cara tersendiri meluahkan pandangan. Mungkin kami terlupa, situasi berbeza," kata beliau.Menurut Joe , mereka tidak perlu meminta maaf kerana lagu-lagu mereka membicarakan soal rasuah dan integriti."Tidak perlu meminta maaf kerana kami bercakap soal rasuah dan integriti dalam lagu. (Lagipun) bantahan itu lebih kepada emosional," katanya.Lagu terakhir mereka dalam perhimpunan semalam, menurutnya disampaikan berdasarkan lirik asal tanpa ad lib dan penambahan.Kedua-dua ahli kumpulan itu menyatakan kesediaan mereka untuk terus membuat persembahan sekiranya diundang lagi di masa akan datang.